Anak buah Wallace Tan mempamerkan permainan berkualiti tinggi apabila menundukkan Zambia 7-4 pada perlawanan separuh akhir di Youth Olympic Park, awal pagi ini waktu Malaysia.

Pada perlawanan itu, Malaysia membuka jaringan seawal minit pertama menerusi gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook sebelum Noor Firdaus Rosdi melebarkan jurang dengan satu lagi gol padang dua minit kemudian.

Zambia merapatkan jurang menerusi Andrew Moyo pada minit ke-6 namun Malaysia kembali meninggalkan jarak apabila Noor Firdaus menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu pada minit sama, demikian menurut Persekutuan Hoki Malaysia menerusi laman Facebooknya.

Skuad remaja negara kemudian menambah empat lagi gol padang menerusi Mohamad Akhimullah Anuar (m-8 dan -20), Muhammad Muhibuddin Moharam (m-11) dan Syarman Mat Tee (m-12).

Zambia bagaimanapun berjaya membolos gawang Malaysia sebanyak tiga kali lagi menerusi Phillimon Bwali (m-14 dan -17) dan Moyo (m-18).

Malaysia akan bertemu India pada final awal pagi esok waktu Malaysia.

India mara ke pentas akhir selepas menewaskan tuan rumah Argentina 3-1 pada satu lagi perlawanan separuh akhir.

Untuk rekod, Malaysia tidak layak pada dua edisi terdahulu iaitu 2010 di Singapura dan 2014 di China.- BERNAMA