Terbaharu, Malaysian Tigers tidak mencapai sasaran 10 terbaik dalam Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India apabila menamatkan aksi di tempat ke-15 keseluruhan.

Sebelum itu, mereka juga gagal memenuhi sasaran dalam Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Piala Sultan Azlan Shah.

“Semua harus menerima hakikat bahawa hoki kita telah gagal tahun ini dan sesuatu harus dilakukan iaitu ­post-mortem (bedah siasat).

“Tahun depan kita akan menghadapi kelayakan Sukan Olimpik dan mereka perlu segera mencari kelebihan, tambahan pula sepanjang tahun ini pasukan gagal mencapai semua sasaran ditetapkan.

“Pada 2014, MHC telah me­lakukan satu post-mortem selepas pasukan menamatkan aksi di tempat ke-12 keseluruhan.

“Jadi mengapa tidak mereka melakukan perkara sama se­perti empat tahun lalu,” kata legenda hoki negara, Maninderjit Singh yang turut bersedih dengan perkembangan hoki negara sepanjang tahun ini.

Dalam Sukan Asia 2018 di ­Indonesia, MHC menetapkan sasaran pingat emas untuk dibawa pulang.

Begitupun skuad hoki negara sekadar membawa pulang pi­ngat perak manakala dalam Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh mereka meraih tempat kelima berbanding sasaran kedudukan keempat.

Dalam Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pula, pasukan negara menyasarkan tempat keempat tetapi menutup aksi di tangga kelima.

Tahun depan Malaysian ­Tigers akan berdepan lebih ba­nyak cabaran dan misi besar iaitu berusaha layak ke Sukan Olimpik 2020 menerusi kejohanan kelayakan ditetapkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).