SHAZRUL menyaksikan pasukannya menjalani latihan di Stadium Tengku Abdullah, Bangi.

Shazrul mengalami kecederaan itu ketika sesi pemanas badan sebelum bermulanya perlawanan suku akhir Piala Tan Sri P Alagendra bertemu TNB Thunderbolts pada Khamis lalu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Jurulatih UniKL, Arul Selvaraj berkata, kecederaan yang dialami Shazrul itu menyebabkan pasukan terpaksa mencari pengganti untuk posisi pemain berkenaan.

“Doktor mengesahkan kecederaan yang dialami Shazrul dan nampaknya dia perlu melalui proses pembedahan.

“Menurut doktor selepas proses pembedahan Shazrul perlu menjalani proses fisioterapi dan pemulihan untuk memastikan dapat pulih sepenuhnya yang mengambil masa antara enam hingga satu tahun,” kata Arul.

Dalam pada itu, Shazrul berkata, dia amat kecewa tidak dapat meneruskan kempen liga bersama UniKL dan berharap rakan sepasukan lain dapat melakukan yang terbaik pada musim ini.

“Sukar menggambarkan perasaan ketika ini dan doktor telah menasihatkan saya untuk menjalani pembedahan serta akan mengambil masa selama enam bulan hingga setahun untuk pulih.

“Saya harap rakan sepasukan dapat melakukan yang terbaik pada saingan liga nanti,” kata Shazrul.

Pasukan UniKL akan memulakan saingan liga menentang Pasukan Hoki Terengganu (THT) bagi merebut Piala Sumbangsih pada Jumaat ini di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu. - UTUSAN ONLINE