Pasukan negara meneruskan kecemerlangan apabila menumpaskan tuan rumah Oman 3-1 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, sehari selepas menewaskan juara Sukan Asia, Jepun 3-0.

Firhan Ashaari membuka tirai jaringan Malaysia pada minit ke-26 tetapi Ashad Al Fazari berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti pada minit ke-34.

Tengku Ahmad Tajuddin dan Faizal Shaari memastikan kemenangan memihak skuad hoki negara apabila masing-masing meledak gol pada minit ke-46 dan ke-48.

“Dari segi struktur, kami menunjukkan permainan yang agak bagus, cuma kami tidak cukup tajam ketika menyerang, selain pergerakan ketika membawa bola terlalu perlahan.

“Selepas ini kami mempunyai tempoh dua hari rehat, jadi hari pertama akan digunakan untuk proses pemulihan dan hari kedua pula untuk menajamkan lagi serangan pasukan.

“Sesuatu yang bagus jika anda dapat menjaringkan lebih banyak gol tetapi anda masih tetap mampu memenangi perlawanan jika tidak melepaskan gol.

“Biasanya peluang untuk anda memenangi perlawanan adalah 95 peratus jika berjaya menjaringkan tiga gol atau lebih, dan itu yang kami lakukan dalam dua perlawanan pertama di sini,” kata Oltmans, yang menggalas tugas pertama bersama skuad kebangsaan sejak dilantik sebagai jurulatih pada 1 Oktober lalu.

Skuad Malaysia Tigers kini menerajui persaingan dengan enam mata maksimum, tiga mata mengatasi India yang baru mengharungi satu perlawanan iaitu membelasah Oman 11-0 kelmarin.

Malaysia akan menentang Korea Selatan pada Isnin ini, sebelum berdepan India (Selasa) dan Pakistan pada 25 Oktober. Empat pasukan teratas layak ke separuh akhir.