Penyerang Terengganu, Akhimullah Anuar Esook terus mempamer sentuhan magis apabila meledak dua gol ketika membantu Malaysia mengalahkan India 4-2 dalam final hoki lelaki lima sepasukan (5s) di Stadium Parque Polideportivo Roca, sekali gus dinobat sebagai penjaring terbanyak dengan 22 gol.

Dua lagi jaringan anak-anak buah Wallace Tan disempurnakan Muhammad Noor Firdaus Rosdi menerusi jaringan padang seawal minit kelima, diikuti ketua pasukan, Muhammad Amirul Hamizan Azahar, minit ke-17.

Ini adalah pingat emas kedua diraih Malaysia dalam edisi ketiga YOG selepas juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei menghadiahkan emas sulung menerusi badminton perseorangan wanita, Sabtu lalu.

Kejayaan skuad hoki dan Jin Wei itu membolehkan Malaysia mencatat pencapaian paling cemerlang dalam sejarah penyertaan mereka pada temasya yang diperkenalkan buat kali pertama di Singapura pada 2010 itu.

Malaysia meraih dua perak menerusi terjun (Pandelela Rinong) dalam temasya sulung di Singapura, sebelum meraih satu perak dan satu gangsa (kedua-duanya menerusi Loh Zhiayi, terjun) di temasya Nanjing, 2014.

“Alhamdulillah, ini adalah rezeki yang sangat besar.

“Sudah tentu, sasaran kami selepas ini akan lebih tinggi, biarpun sejujurnya saya belum fikir apa-apa ketika ini kerana masih meraikan kemenangan.

“Kalau boleh, saya peribadi saya adalah mencari tempat dalam skuad senior kebangsaan, Insya-Allah jika ada rezeki.

“Saya percaya, kemenangan ini juga membakar semangat seluruh pasukan untuk mencari tiket ke Piala Dunia Remaja,” kata Akhimullah kepada Utusan Malaysia.

Ini merupakan sejarah baharu buat arena hoki tanah air kerana YOG 2018 merupakan penampilan pertama Young Tigers selepas gagal melayakkan diri pada dua penganjuran terdahulu.

Pada masa sama, ia memberi keyakinan kepada barisan pemain untuk mencapai satu lagi sasaran iaitu layak ke Piala Dunia Remaja 2020.