Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Prestasi belum memuaskan

Malaysia Tigers perlu atasi kelemahan

SUBAHAN KAMAL (kiri) beramah mesra dengan pemain hoki negara yang
SUBAHAN KAMAL (kiri) beramah mesra dengan pemain hoki negara yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari London semalam. BERNAMA

SEPANG 27 Jun - Meskipun bangga de­ngan kejayaan pasukan kebangsaan layak secara merit ke Piala Dunia 2018 di India, namun Pre­siden Konfe­derasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal belum berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Malaysia Tigers.

Tegas Subahan, Malaysia hanya boleh mencabar pasukan-pasukan terbaik dunia jika berjaya mengatasi beberapa kelemahan.

Bagaimanapun katanya, anak-anak buah Stephen van Huizen menunjukkan peningkatan de­ngan memberi tentangan hebat kepada gerga­si dunia seperti Argentina dan England.

Mereka juga menundukkan jua­ra Asia, India 3-2 dalam Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di London, minggu lalu.

Selepas tumpas 2-5 kepada pa­sukan No. 1 dunia yang juga juara Olimpik, Argentina di peringkat kumpulan, Malaysia Tigers memiliki peluang seimbang ketika bertemu mereka sekali lagi pada separuh akhir sebelum kalah tipis 1-2.

“Memang saya bangga dengan pencapaian pasukan, pemain tidak gentar berdepan pasukan utama dan sebenarnya kita mampu bersaing dengan gergasi dunia.

“Begitupun, saya masih tidak puas hati kerana jika kita berjaya memperbaiki kelemahan, pasukan ini akan jadi lebih hebat.

“Selepas ini saya akan berjumpa dengan ketua jurulatih, Pengarah Tek­nikal MHC (Terry Walsh) dan beberapa pemain untuk mendapatkan laporan terperinci sebelum membuat keputusan terbaik bagi langkah berikutnya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Pemain selepas ini akan diberi rehat dua hingga tiga minggu untuk menikmati Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga sebelum dipanggil semula menjalani latihan sebagai persiapan ke Sukan SEA dan Piala Asia.

Dalam aksi di London itu, penjaga gawang negara, S. Kumar turut dinobat selaku penjaga gol terbaik kejohanan.

Dalam pada itu, Subahan berkata, beliau akan melakukan segala yang termampu untuk bertemu pihak pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memberi ganjaran jangka panjang buat Kumar yang merupakan kakita­ngan syarikat itu.

Katanya, selain daripada ganjaran yang akan diberikan MHC, TNB sewajarnya menghargai jasa yang disumbangkan pemain itu untuk negara.

“Saya akan bertemu pihak TNB bagi bercakap mengenai perkara itu supaya Kumar dapat diberikan kenaikan pangkat atau sebagainya sebagai usaha untuk membantunya bagi jangka masa panjang.

“Saya akan lakukan segala yang termampu dalam bidang kuasa saya untuk bertemu TNB bagi membantunya,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain