Pengerusi Jawatankuasa Pengelola kejohanan itu, Datuk Abdul Rahim Md. Ariff berkata, Malaysia perlu memanfaatkan cabaran tersebut yang dianggap penting memandangkan semua pasukan masing-masing akan menurunkan barisan utama.

"Oleh kerana tahun ini melibatkan Piala Dunia, saya amat yakin pasukan bertanding akan menghantar pasukan utama dan bukannya pasukan kedua atau sebaliknya.

"Inilah medan terbaik untuk negara-negara terbabit menilai dan menguji pemain mereka seterusnya memilih pemain yang akan dibawa ke Piala Dunia nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada majlis penyampaian penajaan dan replika cek sempena Piala Sultan Azlan Shah di sebuah hotel terkemuka negara, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan penyampaian replika cek daripada barisan penaja bernilai RM1.880 juta.

Kejohanan tersebut yang memasuki edisi ke-27 akan berlangsung bermula 3 hingga 10 Mac di Stadium Azlan Shah, Ipoh.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, edisi kali ini berbeza kerana ia dijangka menyajikan pertarungan dramatik setelah penganjur hanya menjemput pasukan-pasukan utama dalam ranking dunia.

"Kita jemput Australia yang berada di ranking nombor satu dunia, Argentina (ranking kedua), India (Juara Asia dan ranking keenam), England (ranking ketujuh) dan Ireland (ranking kesembilan) serta skuad kebangsaan di ranking ke-12,” katanya.