Dalam aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Perak bermula garang apabila membuka jaringan seawal minit kelima menerusi pukulan sudut Muhammad Nursyahmi Zulkifli, sebelum Hafifihafiz Hanafi menggandakan jaringan menerusi gol padang lapan minit kemudian.

Skuad kendalian Mohd. Nizam Hashim itu terus memburu jaringan menerusi Muhammad Nursyahmi pada minit ke-41, Hairul Nizam Ab Rani (minit ke-44, 47) dan Azril Misron pada minit ke-45.

Pulau Pinang yang menduduki tangga tercorot selepas kalah dalam kesemua perlawanan, akhirnya berjaya menggegarkan gawang lawan menerusi gol padang Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin dan pukulan sudut Muhammad Azrul Hasbullah masing-masing pada minit ke-57 dan 60.

“Berdasarkan prestasi pemain kami amat yakin Perak mampu untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu. Kami tidak ketandusan pemain kerana memiliki pemain daripada peringkat akar umbi hingga kebangsaan, jadi tiada masalah mendapatkan pengganti apabila tonggak utama terikat dengan tugas bersama skuad kebangsaan,” kata Mohd. Nizam.

Sementara itu, satu lagi finalis 2017, Terengganu terpaksa menunggu sehingga perlawanan terakhir esok untuk mengetahui nasib mereka apabila terikat 3-3 dengan Kuala Lumpur dalama aksi yang berlangsung serentak.

Pada perlawanan yang terpaksa ditangguhkan lebih 15 minit akibat hujan lebat, Terengganu mendahului 2-0 menerusi gol padang Mohd. Shazwi Rani seawal minit kedua dan pukulan sudut Muhd. Amirul Mirza Rozi (minit ke-13), sebelum Kuala Lumpur merapatkan jurang menerusi Mohd. Ramadan Rosli dua minit kemudian.

Terengganu kembali menguasai perlawanan menerusi gol padang Mohd. Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-38, bagaimanapun Nor Azrul Abdul Rahman mengurangkan defisit tiga minit kemudian.

Kuala Lumpur berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-51 apabila Mohd. Ramadan menyambar bola daripada pemain pertahanan lawan di depan pintu gol. - BERNAMA