Pengerusi UniKL, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Canselor UniKL telah bersetuju untuk memberikan insentif kepada pasukan hoki tersebut kerana kejayaan diraih.

“Selaku juara mereka telah meraih RM80,000 dan Canselor UniKL, Tengku Abdullah telah bersetuju menambah lagi RM100,000 bagi menghargai sumbangan pasukan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan RM180,000.

“Kejayaan yang diraih pasukan hoki UniKL ini membuatkan kami semua gembira dan bangga kerana semuanya diperoleh selepas kerja keras.

“Untuk pengetahuan semua UniKL sebelum ini pernah memenangi gelaran di peringkat remaja dengan menjulang Piala Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) pada 2010 dan menjuarai saingan liga MJHL 2011,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Ini juga adalah kali pertama UniKL menjuarai gelaran Piala TNB sejak mula kelab itu mula ditubuhkan pada 2009.

Dalam aksi saingan akhir Piala TNB 2018 pada Sabtu lalu, UniKL meraih kemenangan 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti ke atas Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang aksi sebenar di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.