Malaysia kini berkongsi tiga mata dengan Pakistan dalam kumpulan B selepas tiga perlawanan hari ini, apabila skuad bimbingan jurulatih Stephen Van Huizen tewas 1-2 kepada musuh tradisi mereka, India.

Pada aksi di Gold Coast Hockey Stadium itu hari ini, pasukan negara dikejutkan dengan jaringan gol seawal minit ketiga oleh Harmanpreet Singh melalui pukulan sudut penalti.

Tersentak dengan gol itu, penyerang negara Faizal Saari menggegarkan gawang pihak lawan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-16 melalui jaringan padang.

Malaysia terus memberikan saingan seimbang kepada India namun pasukan keenam dunia itu sekali lagi melalui Harmanpreet akhirnya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-44.

Jurulatih, Van Huizen bagaimanapun berpuas hati dengan persembahan yang telah ditunjukkan oleh pasukan negara terutamanya apabila berjaya menyelamatkan tujuh daripada sembilan pukulan sudut penalti dan empat percubaan padang oleh pemain India.

"India menjaringkan gol terlebih dahulu tetapi kami berjaya untuk mendapatkan jaringan penyamaan untuk membuka kembali permainan. Pemain pertahanan telah bertindak cemerlang ketika pukulan sudut penalti," katanya selepas perlawanan, hari ini.

Malaysia yang berada di kedudukan ketiga kumpulan B kini berkongsi tiga mata dengan pasukan Pakistan dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.

Pakistan, pasukan ke-13 dunia yang kini di bawah kendalian jurulatih baharu, Roelant Oltmans telah menunjukkan peningkatan yang baik sepanjang beraksi di Gold Coast.

"Kami perlu bersedia sepenuhnya untuk pertemuan dengan Pakistan esok. Pertemuan dengan Pakistan merupakan pertemuan hidup mati untuk pasukan negara," katanya. - BERNAMA