Mat Sport
Mat Sport

Pencapaian itu sudah pasti tidak memuaskan peminat hoki negara dan, selepas tamat kejohanan pelbagai kritikan Mat dengar seolah-olah skuad hoki negara telah gagal dalam keseluruhan musim ini.

Bagi Mat janganlah terlalu mudah menilai prestasi pasukan dalam sesebuah kejohanan tanpa mengetahui misi utama pasukan hoki kebangsaan pada tahun ini.

Piala Sultan Azlan Shah tahun ini hanya medan pasukan negara untuk menguji taktikal sebelum menghadapi ujian sebenar tahun ini iaitu Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London bulan depan.

Ya, Mat mengakui prestasi skuad kebangsaan dalam Pia­la Sultan Azlan Shah di Ipoh bukanlah sesuatu yang memuaskan malah ada kalanya membuatkan hati sakit ketika melihat banyak peluang menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti tidak dapat dimanfaatkan dengan baik.

Namun apabila difikirkan secara rasional, skuad hoki negara tetap mempamerkan peningkatan apabila menang ke atas pasukan No. 1 Asia, India dalam saingan terakhir liga di Ipoh minggu lepas dan itu suatu petanda positif.

Kelemahan dipamerkan oleh Malaysia Tigers sewaktu kejohanan di Ipoh itu seharusnya dapat dijadikan pe­ngajaran buat Stephen sebelum bertolak ke London.

Penyudah tumpul, permulaan aksi dalam kejohanan yang perlahan selain kurang kreatif dalam kawasan D ketika me­lakukan pukulan sudut penalti mungkin wajar dinilai semula oleh Stephen dan diharap jurulatih itu dapat menerima teguran dengan profesional.

Skuad hoki kebangsaan mempunyai misi penting dalam Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London yang menyediakan slot ke Piala Dunia 2018.

Cabaran skuad kebangsaan di London amat kompetitif kerana diundi bersama tuan rumah, England, Argentina, Korea Selatan dan China dalam Kumpulan A.

Namun Mat percaya Malaysian Tigers akan mempamerkan aksi lebih baik di London berbanding Piala Sultan Azlan Shah 2017.