Dalam kempen Piala Dunia 2018, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jerman, Belanda dan Pakistan. Bagi melepasi aksi peringkat kumpulan, Malaysia harus menamatkan aksi dalam kelompok tiga terbaik.

Sebelum ini Pakistan adalah pasukan yang menjadi ancaman buat skuad kebangsaan bagi menamatkan aksi peringkat Kumpulan D di India dalam kelompok tiga terbaik dan kini dengan kehadiran Oltmans segala rahsia taktikal pasukan gergasi Asia itu sudah berada dalam tangan Malaysia Tigers.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pelantikan Oltmans yang berkuat kuasa hari ini dibuat bagi memastikan prestasi skuad kebangsaan sentiasa berada di tahap terbaik dalam kempen Piala Dunia 2018 dan misi memburu slot ke Sukan Olimpik 2020.

Kata Subahan, Oltmans, 64, ditawarkan kontrak selama dua tahun bersama skuad kebangsaan sebagai ketua jurulatih skuad lelaki bagi menggantikan Stephen Van Huizen yang diberikan tugasan selaku pengurus pasukan dan penolong ketua jurulatih.

“Saya mahu Stephen kekal bersama pasukan kebangsaan kerana dia kenal dengan pemain-pemain sedia ada,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, barisan kejurulatihan lain dalam skuad negara kekal.

“Begitu juga Terry Walsh masih kekal sebagai Pengarah Teknikal,” katanya dalam satu sidang akhbar khas pengumuman ketua jurulatih baharu Malaysia Tigers, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Oltmans berkata, dia tidak sabar untuk bekerja sama dengan Stephen dan misi ketika ini ialah menaikkan kualiti pasukan ke tahap yang lebih baik lagi.