Pemain pertahanan berusia 23 tahun itu, berada dalam senarai 28 nama yang dipanggil bersama kem latihan kebangsaan di bawah bimbingan ketua jurulatih Roelant Oltmans bermula 10 hingga 16 Mac ini di Kuantan, Pahang.

Kata Muhammad Najmi, dia akan menyesuaikan diri dengan taktikal permainan digunapakai oleh Oltmans dalam usaha merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan.

“Saya bersyukur kerana khidmat saya masih diperlukan lagi oleh skuad kebangsaan, dalam masa sama akan memberikan yang terbaik buat pasukan sepanjang sesi latihan serta kejohanan.

“Secara jujur memang saya amat rindu untuk kembali beraksi bersama rakan sepasukan lain dan sedar perlu cepat untuk menaikkan prestasi kecergasan. Sasaran utama saya kini adalah untuk terpi­lih dalam skuad utama kebangsaan dan akan ikut segalanya peringkat demi peringkat,” kata Muhammad Najmi.

Kali terakhir Muhammad Najmi melakukan penampilan bersama skuad negara ketika siri perlawanan persahabatan di Argentina, Mei lalu.

Pada Julai tahun lalu, Muhammad Najmi membuat keputusan mengejut meninggalkan skuad hoki kebangsaan yang menimbulkan pelbagai persoalan berikutan ketika itu pasukan dalam persediaan menghadapi Sukan Asia 2018 di Jakarta.