Walaupun menghadapi cabaran kewangan, Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal berkata pihaknya telah bersedia menganjurkan kejohanan yang disertai lapan negara, bagi merebut kelayakan ke Sukan Olimpik 2020, biarpun FIH sebelum ini menolak rayuan MHCuntuk penggunaan teknologi rujukan video.

Dengan kos penganjuran kejohanan sembilan hari itu dijangka mencecah sekitar RM1 juta, Subahan berkata pihaknya berjaya mendapatkan penajaan lebih kurang RM600,000, manakala bakinya masih sedang diusahakan.

Namun, beliau yakin ia tidak menjadi masalah, kerana mendapat sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang dapat mengurangkan kos penganjuran.

“Kami cuba mengurangkan kos penganjuran selain masih berusaha mencari penaja lain. Kami berharap lebih ramai rakan penaja akan menyertai kami dalam masa terdekat* Kalau tidak dapat, kami akan menggunakan duit sendiri untuk menjayakan kejohanan ini.

“MHCmahu membuktikan kepada FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) bahawa Malaysia mampu menganjurkan kejohanan peringkat antarabangsa dengan baik. Kita telahpun menghantar segala dokumen yang diperlukan, dan merupakan antara negara yang telah di senarai pendek FIH,” katanya pada sidang media memperkenalkan penaja bagi kejohanan itu.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekali lagi menjadi penaja utama dengan tajaan lebih kurang RM500,000, termasuk tajaan wang tunai RM300,000, selain tajaan daripada Orion IXL Berhad, 100 Plus, Stubapp dan Palace of Golden Horses.

UNITAR International University (UNITAR) pula memberikan tajaan wang tunai RM50,000, selain sumbangan biasiswa bernilai RM100,000 kepada penyokong yang menyertai pertandingan ‘tricks and stunt’ sempena kejohanan itu.

Sementara itu, Subahan juga berharap pelbagai aktiviti sampingan yang bakal dianjurkan boleh meningkatkan kehadiran penyokong ke stadium, sekali gus menjadi pembakar semangat buat skuad ‘The Malaysian Tigers’ untuk layak ke pentas Olimpik selepas 20 tahun, selepas kali terakhir beraksi di edisi Sydney pada 2000.

Skuad Malaysia di bawah kendalian Roelant Oltmans perlu menamatkan saingan pada kedudukan dua teratas pada Siri Akhir FIH untuk mara ke pusingan play-off, iaitu pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020.- BERNAMA