Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata selepas skuad lelaki negara tewas kepada Jepun dalam perlawanan akhir Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang menyebabkan mereka terlepas tiket automatik ke Tokyo.

Tambah Subahan, beliau sudah pun menyatakan pandangannya itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif FIH, Thierry Weil sebelum berlangsung perlawanan akhir tersebut.

“Dalam perjumpaan saya de­ngan ketua pegawai eksekutif FIH, saya sudah maklumkan sekiranya Jepun menjadi juara, kalau boleh pasukan naib juara mesti diberi keutamaan untuk layak secara automatik.

“Beliau bersetuju dengan cadangan saya dan beliau rasa memang itulah sepatutnya yang berlaku. Hanya ketika ini kami perlu membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan kemudian perlu mendapatkan persetujuan daripada Kongres FIH yang akan berlangsung pada November,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyambut kepulangan skuad hoki lelaki negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, bukan Malaysia saja berdepan situasi itu, malah skuad wanita India yang muncul naib juara selepas tewas kepada Jepun juga berdepan situasi sama.

“Jepun sudah layak secara merit kerana mereka tuan rumah Sukan Olimpik. Jadi, sepatutnya slot itu diberikan kepada naib juara. Saya akan mengemukakan surat rayuan kepada FIH esok atau Rabu ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, Subahan mengakui sudah pasti bakal ada pihak yang akan mempertikaikan pendirian MHC itu.

“Tapi inilah peluang yang kita ada dan seharusnya kita tidak melepaskan peluang ini, tetapi jika tidak (rayuan ditolak) kita akan melalui proses seperti biasa,” ujarnya.

Mengikut format FIH, sekiranya Jepun muncul juara Sukan Asia, maka kuota ke Olimpik itu akan dibawa ke kempen kelayakan ke Sukan Olimpik yang berlangsung tahun depan.