Skuad bimbingan Roelant Oltmans itu mengalami kekalahan ketiga berturut-turut selepas dibelasah 6-0 oleh India dan tewas 1-3 kepada Jepun dalam dua aksi sebelumnya.

“Ini adalah perlawanan ke-12 kami dalam tempoh tiga minggu dan pasukan bermain dalam keadaan cuaca yang sangat lembab.

“Kami gagal menterjemahkan peluang yang dimiliki kepada jaringan, malah berlaku beberapa kesilapan individu yang menyebabkan kami tewas hari ini.

“Untuk perlawanan terakhir esok, saya berharap pemain mampu menggunakan setiap tenaga yang ada untuk memberikan saingan kepada lawan,” kata Oltmans yang dipetik dalam laman web Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Gol tunggal negara dihasilkan daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-21 menerusi Muhammad Najmi Farizal Jazlan sebelum New Zealand bangkit dengan tiga gol.

New Zealand menjaringkan gol penyamaan beberapa saat sebelum aksi separuh masa pertama berakhir menerusi jaringan padang Jared Panchia sebelum Nic Woods menyempurnakan pukulan sudut penalti yang dimiliki pada minit ke-39 untuk mereka berada di hadapan.

Hugo Inglis menjaringkan gol kemenangan The Black Stick pada minit ke-57 untuk perlawanan terakhir peringkat round robin berkesudahan dengan Malaysian Tigers tewas 1-3 kepada pasukan di ranking kelapan dunia itu.

Esok skuad negara akan turun jam 8.30 pagi waktu Malaysia bagi penentuan kedudukan ketiga dan keempat.

Sembilan perlawanan yang diharungi Malaysian Tigers dalam siri jelajah Eropah, selain empat aksi Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi persiapan terbaik pemain negara sebelum menghadapi pusingan akhir kelayakan ke Olimpik 2020 yang bermula pada Oktober dan November ini. - UTUSAN ONLINE