Malaysian Tigers tewas 0-6 kepada pasukan No. 5 dunia, India pada perlawanan pembukaan, semalam.

Dalam aksi, hari ini, Kentaro Fukuda membuka jaringan bagi pasukan ke-16 dunia pada minit ke-26 sebelum Nabil Fiqri Mohd Noor yang diturunkan semula dalam skuad negara, baru-baru ini, menyamakan kedudukan pada minit ke-37.

Skuad negara di bawah bimbingan jurulatih dari Belanda, Roelant Oltmans bekerja keras dalam usaha untuk melakar kemenangan pertama, tetapi kesilapan yang dilakukan menyaksikan Kazuma Murata dan Kota Watanabe menjaringkan gol masing-masing pada minit ke-48 dan ke-49.

"Pemain beraksi dengan cukup baik pada separuh masa pertama dan juga suku ketiga, namun, pemain tidak dapat mengekalkan corak permainan yang sama pada suku keempat dan kesilapan mula dilakukan.

"Sepanjang kempen siri jelajah, ini merupakan perlawanan ke-11 kami dan kami hanya bermain dengan 15 orang pemain. Bagaimanapun, berbanding semalam, hari ini pemain menunjukkan satu persembahan yang lebih baik.

"Esok tiada perlawanan yang akan berlangsung dan kami akan membuat analisis sebelum turun bertemu New Zealand serta membuat perancangan rapi, tetapi sebelum itu pemain perlu menjalani sesi pemulihan dengan sebaiknya," kata Oltmans seperti dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), hari ini.

Malaysia, selaku pasukan ranking ke-12 dunia dan belum layak ke Olimpik akan berdepan New Zealand dalam perlawanan seterusnya pada pukul 8.30 pagi (waktu Malaysia), Selasa ini.

Kejohanan itu adalah sebahagian daripada persiapan skuad kebangsaan bagi pusingan akhir kelayakan pada Oktober dan November. - BERNAMA