Kejayaan Malaysian Tigress telah diduga memandangkan ranking ke-22 dunia menjadikan mereka pilihan utama kejohanan.

Kemenangan ini pastinya menjadi tonik semangat menjelang misi lebih getir pada Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos ini.

Enam perlawanan tanpa kalah dan mengumpul 51 gol turut membalas kepercayaan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menerima rayuan mereka baru-baru ini untuk menyertai temasya ke-18 itu di bawah Kategori A (pembia­yaan penuh).

Hanya dalam tempoh lima minit suku pertama permainan, skuad Muhammad Dharmaa Raj Abdullah sudah mendahului 2-0 menerusi Fatin Shafika Shukri yang menyudahi pukulan sudut penalti dan jaringan padang.

Surizan Awang Noh me­lebarkan kedudukan pada minit kelapan diikuti pemain berusia 14 tahun, Kirandeep Kaur (30), Nuraini Rashid (51) dan Nur Amirah Shakirah Zulkifli (56) melengkapkan pesta gol itu.

Terdahulu Malaysian Tigress menamatkan saingan liga sepusingan dengan membelasah Singapura 5-0, Thailand 4-0, Kazakhstan 8-1, Hong Kong 10-0 dan Indonesia18-0.

Selaku juara dan naib juara Terbuka Singapura, Malaysia dan Thailand sudah layak ke Pusingan Kedua Siri Dunia anjuran Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada tarikh dan tempat yang akan ditentukan kemudian.

Terbuka Singapura tidak di­sertai empat pasukan terbaik Asia - India, China, Korea Selatan dan Jepun.