Ketua jurulatih skuad lelaki negara, Roelant Oltmans berkata, anak buahnya perlu mengambil kesempatan sebaik mungkin beraksi di tempat sendiri untuk mencatat keputusan positif pada kejohanan berkenaan.

Pengendali kelahiran Belanda berusia 64 tahun itu mendedahkan pasukan pada ranking ke-10 dunia, Kanada dan China (ke-14 dunia) menjadi ancaman utama kepada Malaysia untuk meraih tempat ke pusingan seterusnya dalam aksi kelayakan tersebut.

"Penting untuk kita menamatkan saingan dalam kedudukan terbaik bagi mengelak berdepan pasukan pada ranking tertinggi dan jika kita gagal melakukannya, kita dijangka bertemu pasukan (hebat) seperti England, Sepanyol atau New Zealand di pusingan seterusnya dalam aksi kelayakan.

"Kita perlu menunggu sehingga September untuk mengetahui lawan bakal kita hadapi jika kita menamatkan cabaran antara dua pasukan teratas pada kejohanan di Kuala Lumpur ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Oltmans berkata, kesemua 28 pemain sangat teruja untuk beraksi dalam kejohanan tersebut, sambil berkata senarai akhir pemain akan ditentukan pada 19 April ini.

"Kita akan beraksi satu perlawanan pemanas badan sebelum menghadapi kejohanan ini," katanya.

Sementara itu, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal menggesa peminat hoki tempatan agar memenuhi stadium bagi memberi sokongan padu kepada skuad negara, sambil menyatakan masuk adalah percuma bagi menyaksikan kejohanan tersebut.

"Kita perlu menunjukkan kepada peminat tempatan kita mampu beraksi dengan baik pada kejohanan ini, dan saya bersama barisan exco MHC akan bersama-sama dengan pemain setiap masa bagi memastikan mereka dapat menampilkan aksi terbaik dan mencapai keputusan positif pada kejohanan ini," katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama China, Brazil dan Itali, manakala Kanada, Austria, Belarus serta Wales akan bersaing dalam Kumpulan A.

Mengikut format kejohanan, hanya dua pasukan teratas selepas menamatkan tiga kejohanan Hoki Siri Final FIH 2019 akan layak beraksi pada peringkat seterusnya dalam saingan kelayakan Sukan Olimpik.

Dua lagi kejohanan Siri Final FIH akan berlangsung di India dari 6-16 Jun, dan Perancis bermula 15 hingga 23 Jun depan. - BERNAMA