Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, mereka perlu memberikan prestasi terbaik walaupun akan berdepan beberapa bekas juara SOJC antaranya India, Australia dan Great Britain.

"Walaupun pasukan kita kali ini tidak menampilkan enam pemain utama tetapi diharapkan mereka akan memberikan yang terbaik. Persediaan pasukan kita berada pada tahap terakhir.

"Pada 1 Oktober ini mereka akan berlatih di Stadium Hoki Taman Daya sebelum bermain dalam perlawanan persahabatan dengan Australia pada 2 Oktober dan sehari selepas itu pula dengan The Great Britain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) Kali Kelapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim selaku wakil rasmi kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyempurnakan pelancaran SOJC tersebut.

SOJC kali kelapan itu akan berlangsung selama lapan hari bermula pada 6 Oktober ini di Stadium Hoki Taman Daya di sini dan kali ini mendapat tajaan RM2.150 juta.

Yang turut hadir Pegawai Kewangan negeri, Datuk A. Rahim Nin; Datuk Bandar Johor Bahru, Amran Rahman dan Timbalan Presiden Persatuan Hoki Johor (PHJ), Datuk Majid Manjit Abdullah yang juga Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Menurut Mohd. Khuzzan, sebanyak enam negara akan berentap dalam SOJC kali ini iaitu Malaysia, New Zealand, Australia, India, Great Britain dan Jepun.

Sementara itu, Majid Manjit berkata, pihaknya menerima banyak permohonan untuk menyertai SOJC kali ini tetapi terpaksa menghadkan enam pasukan sahaja.

Antara pihak yang memberikan tajaan ialah kerajaan negeri RM500,000; RITZ Corporation Holding Berhad dan Astaka Padu Sdn. Bhd. masing-masing RM200,000; Johor Corporation, JBB Builders (M) Sdn. Bhd., UM Land dan Tenaga Nasional Berhad masing-masing RM100,000.

Begitu juga SAJ Holdings Sdn. Bhd., KH Land Sdn. Bhd., The Zon dan Iskandar Waterfront Holding Berhad, Genting Berhad masing-masing menyumbang RM50,000 sementara Berjaya Times Square pula menyumbang RM30,000.