Hari ini skuad Malaysian Tigers melengkapkan kempen peringkat kumpulan dengan kemenangan 7-0 ke atas Oman untuk berkedudukan kedua di belakang Pakistan selepas mengumpul 12 mata daripada lima perlawanan.

Ketua jurulatih hoki kebangsaan, Stephen Van Huizen berkata, pasukannya harus bersedia menentang sesiapa sahaja dalam separuh akhir dan melakukan yang terbaik bagi memburu slot final.

“Tugas pasukan kini adalah untuk mempamerkan aksi terbaik dalam separuh akhir nanti. Mencatat kemenangan besar menentang Oman hari ini tidak mengubah apa-apa kedudukan peringkat kumpulan.

“Kami telah melakukan persediaan yang amat baik bagi menghadapi Sukan Asia dan sepatutnya harus bersedia menghadapi aksi separuh akhir.

“Saya juga akui tugas berat bakal menanti kami dalam saingan separuh akhir dalam masa sama semua pemain harus percaya dengan kemampuan diri sendiri,” kata Stephen.

Dalam perlawanan di Stadium Hoki Gelora Bung Karno hari ini, kesemua jaringan Malaysia disempurnakan oleh Muhammad Razie Abd Rahim (minit ke-27), Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (m-31), Faizal Saari (m-33), m-47), Muhammad Firhan Ashari (m-36), Tengku Ahmad Tajuddin (m-44), Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (m-41).

Kali terakhir Malaysia menentang India adalah dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah 2018 pada 7 Mac lalu di Ipoh yang menyaksikan pasukan negara tewas 1-5. - UTUSAN ONLINE