Kekalahan tersebut menambah duka buat skuad negara yang sekadar mengutip satu mata daripada tiga perlawanan setakat ini.

Kealpaan pertahanan skuad kendalian jurulatih, Arul Selvaraj dihukum Britain dengan menjaringkan dua gol dalam masa dua minit menerusi jaringan padang Bejamin Boon pada minit kelima dan David Goodfield, minit keenam.

Malaysia kemudian mengatur serangan menerusi gandingan penyerang, Sufi Ismat Rohulamin dan Muhammad Haziq Samsul namun gagal membolosi gawang lawan sehingga tamat babak pertama.

Pada separuh masa kedua, percaturan taktikal yang dilakukan berjaya membuahkan hasil apabila Sufi Ismat berjaya menjaringkan gol padang pada minit ke-36.

Skuad negara mempunyai beberapa peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan namun gagal menembusi kubu lawan, sebaliknya Britain menambah jaringan menerusi Luke Taylor yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-62.

Pada minit ke-65, giliran skuad negara pula dihadiahkan pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Muhammad Shahril Saabah ke bahagian bawah kanan gol dan kedudukan kekal ke wisel penamat.

Sementara itu India mempamer rentak permainan cantik dengan Armaan Gureshi menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua bagi membantu pasukannya membelasah Pakistan 6-0.

Australia pula bangkit daripada ketinggalan tiga untuk menewaskan New Zealand 4-3.