Perkara tersebut disahkan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal dalam sidang akhbar khas di sini, sebentar tadi selepas menerima surat berhubung keputusan doping pemain berkenaan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), 12 Disember lalu.

Kata Subahan, kandungan surat itu menyatakan Kumar didapati positif sibutramine selepas melalui proses ujian pada aksi terakhir peringkat kumpulan ketika bertemu Oman.

Ketika ini, Kumar digantung sementara daripada terlibat dengan sebarang aktiviti hoki selama dua tahun dengan sesi pendengaran dijadualkan pada Januari tahun depan.

“Ia bukan bahan yang diambil untuk meningkatkan prestasi tetapi disebabkan bahan itu berada dalam badan, walaupun sedikit, FIH perlu mengambil tindakan ke atas Kumar.

“Kita tahu Kumar sudah mempunyai 295 cap untuk negara dan sudah melalui kira-kira 10 proses ujian doping sepanjang kariernya dan setiap kali ujian itu adalah negatif.

“Bagi pihak kami walaupun menidakkannya, masih perlu juga mengakui keputusan itu,” kata Subahan.

Menurut Subahan lagi, MHC akan memberikan sokongan kepada Kumar dan akur dengan keputusan penjaga gol negara itu yang enggan mencabar sampel B, sebaliknya ingin terus ke sesi pendengaran.

“Untuk berlaku adil, Kumar perlu diberi peluang untuk memberikan penjelasan dan kami akan sentiasa berada di belakangnya.

“Saya harap hukuman ke atasnya diringankan. Tempoh penggantungan dua tahun bukannya singkat, malah kehilangan Kumar untuk dua bulan sudah terlalu lama buat kami,” katanya yang turut menyatakan akan menghantar surat permohonan bagi sesi pendengaran kepada FIH esok.

Sementara itu, Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata, kes membabitkan Kumar tidak akan menjejaskan sebarang keputusan yang diraih skuad negara ketika Piala Asia lalu yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara selepas tewas kepada India pada aksi final.

“Jika mengikut peraturan WADA (Agensi Anti-Doping Dunia), andai lebih dua pemain positif ujian doping, baru keputusan boleh diubah atau dibatalkan.

“Begitupun dalam kes ini hanya membabitkan seorang pemain, jadi tiada sebarang perubahan keputusan,” katanya. - UTUSAN ONLINE