Kumar yang telah bebas daripada hukuman pengantungan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada 15 April lalu akibat isu positif doping sewaktu Kejohanan Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh kini berada dalam senarai 20 pemain ke Argentina.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Stephen Van Huizen berkata, Kumar disenaraikan kerana penjaga gol tersebut telah membuktikan prestasinya berada di tahap terbaik biarpun sudah lama tidak bersama pasukan negara.

“Semua pemain juga telah menunjukkan bahawa mereka masih selesa dengan Kumar sebagai penjaga gol sewaktu sesi latihan.

“Dalam Siri Jelajah Argentina ini, Kumar harus membuktikan dia masih mampu beraksi dengan baik bersama pasukan kebangsaan andai mahu terus bersama pasukan negara meng­hadapi kejohanan lebih besar iaitu Sukan Asia dan Piala Du­nia,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman senarai pemain untuk Siri Jelajah Argentina, di sini, hari ini.

Selain Kumar, turut disenaraikan untuk mengalas tugas sebagai penjaga gol ialah Muhammad Hairi Abd. Rahman.

Dalam Siri Jelahan Argentina, skuad kebangsaan akan berdepan enam perlawanan persahabatan menentang pasukan kebangsaan tuan rumah dan ke­semua aksi tersebut adalah antara persediaan Malaysia bagi menghadapi Sukan Asia 2018 di Indonesia pada Ogos ini.