KLHC yang baharu dinobatkan sebagai juara Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) 2017 pada Ahad lalu meraih kemenangan ke atas TNB menerusi aksi pukulan penalti shoot-out 2-1 selepas terikat dengan agregat 2-2.

Pada aksi perlawanan akhir Ahad ini, KLHC dijadual menentang Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang turut melepasi aksi separuh akhir kedua selepas menundukkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan keputusan 4-0, bagi agregat 8-4.

Jurulatih KLHC, Muhammad Harun Al-Rashid Samri berkata, pujian wajar diberikan kepada TNB kerana berjaya membuatkan pasukannya terpaksa bergelut bagi mendapatkan kemenangan.

“Mereka (TNB) mempunyai pemain muda yang berbakat malah tetap mampu memberikan saingan biarpun tanpa pemain import.

“Saya akui terlalu sukar untuk menewaskan TNB pada aksi separuh akhir kedua ini dan anda boleh lihat kami hampir tewas kepada mereka,” kata Muhammad Harun Al-Rashid.

Pada perlawanan tersebut, TNB yang tewas tipis 0-1 pada separuh akhir pertama Rabu lalu dilihat banyak menguasai aksi hari ini apabila berupaya mendapatkan dua jaringan perlawanan berbanding KLHC untuk kedudukan 2-1, bagi agregat 2-2.

Dua gol TNB dijaringkan oleh Shazril Irwan Nazli menerusi pukulan sudut penalti minit ke-12 dan penalti strok yang dimanfaatkan oleh Muhammad Azammi Adabi minit ke-41.

Sementara gol tunggal KLHC dijaringan oleh Muhammad Razie Abdul Rahim menerusi aksi pukulan sudut penalti minit ke-37 sekali gus membolehkan keputusan perlawanan terikat dengan agregat 2-2.

Kali terakhir KLHC bergelar juara Piala TNB adalah pada 2013.

Sekiranya KLHC berjaya meraih kemenangan pada Ahad ini maka ia akan menjadi gelaran Piala TNB keenam selepas 2013, 2012, 2011, 2010 dan 2008.- UTUSAN ONLINE