Jurulatih Muhammad Amin Rahim berkata, kemahiran yang dimiliki oleh Najmi sebagai pakar pukulan sudut pendek amat diperlukan oleh pasukannya.

Tambah Muhammad Amin, dia telah lama menilai prestasi pemain tersebut yang ketika ini berada bersama skuad bimbingan Stephen Van Huizen dan mahu menguji Najmi bersama pasukan hoki dalam dewan.

“Seperti yang kita sedia maklum bahawa hoki dalam dewan berbeza dengan hoki padang dan disebabkan itu saya mahu menguji Najmi terlebih dahulu sama ada dia serasi atau tidak dengan teknik kami.

“Bagi saya Najmi adalah seorang pemain yang berkualiti dan dia berupaya menjadi penjaring pasukan sekiranya serasi bersama pasukan hoki dalam dewan,” katanya dalam sidang akhbar Program Kita Juara di sini, hari ini.

Najmi menjaringkan satu gol untuk skuad hoki kebangsaan dalam kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London yang berakhir 25 Jun lalu.

Sementara itu, jurulatih skuad hoki dalam dewan wanita negara Iman Gobinathan berharap perlawanan persahabatan menentang Singapura sebulan sebelum Sukan SEA 2017 bermula akan dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh pemainnya.

Katanya, perlawanan persahabatan itu juga akan menjadi persiapan akhir pasukannya yang memburu pingat emas dalam temasya di Kuala Lumpur pada Ogos ini.

“Menerusi perlawanan itu, kita mungkin dapat menilai kemampuan Singapura sebelum memulakan kempen Sukan SEA.

“Ketika ini pencabar terkuat kami adalah Thailand dan Indonesia yang telah mempersiapkan pasukan mereka lebih awal berbanding kami.

“Saya juga optimis dengan kemampuan dimiliki pasukan Malaysia dapat mencapai sasaran ditetapkan iaitu meraih pingat emas,” kata bekas pemain kebangsaan itu.