Presiden FIH Thierry Weil berkata stadium itu menyediakan kemudahan terbaik yang menerima banyak pujian daripada lapan pasukan yang bertanding dalam kejohanan itu.

“Saya menjemput semua peminat hoki untuk datang dan menonton perlawanan di venue ini dan saya menggesa agar anda semua mengajak keluarga dan sahabat untuk turut hadir dan berkongsi semangat mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Berkongsi sentimen itu adalah dua perwakilan Teknikal FIH Christian Deckenbrock dan Tammy Standley yang menganggap kejohanan itu dijalankan dengan tepat mengikut standard antarabangsa FIH.

“Ia bukan hanya satu kejohanan yang hebat dengan lapan pasukan hebat tetapi juga peluang untuk menguji protokol prakejohanan dan perlawanan serta melihat apa yang akan disediakan untuk pasukan teknikal pada Sukan Olimpik Tokyo 2020,” kata kedua-dua individu itu.

Malaysia menamatkan cabaran di tangga tercorot daripada empat pasukan dalam acara lelaki selepas dibelasah 1-6 oleh tuan rumah Jepun pada aksi penentuan ketiga/keempat kejohanan ujian berkenaan manakala pasukan nombor lima dunia India, memenangi pingat emas selepas mengetepikan pasukan nombor lapan dunia, New Zealand 5-0 dalam perlawanan akhir.

India juga memenangi gelaran acara wanita selepas mengalahkan tuan rumah 2-1 pada perlawanan akhir, manakala Australia meraih pingat gangsa selepas menewaskan China 3-2 dalam perlawanan penentuan ketiga/keempat.

Hoki padang adalah satu daripada 56 acara percubaan yang diadakan di sekitar Tokyo sebagai persediaan Jepun memastikan lokasi dan prosedur operasi dalam keadaan terbaik, sebelum berlangsungnya Olimpik Tokyo 2020.-BERNAMA