Hanya sebulan lalu Malaysia Tigers tumpas kepada pasukan sama dengan 7-2 dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, defisit gol kali ini lebih buruk apabila anak-anak buah Stephen Van Huizen tidak membalas langsung untuk kalah 7-0 di Pusat Hoki Gold Coast.

Melihat kepada statistik, Malaysia jelas tidak melawan apabila gagal melakukan walaupun satu percubaan manakala England berjaya menghasilkan sembilan percubaan padang dengan empat daripadanya disempurnakan termasuk dua daripada lapan pukulan penalti sudut.

Satu lagi gol diperoleh menerusi pukulan penalti.

England hanya gagal menembusi gawang Malaysia pada suku ketiga manakala dalam suku pertama mereka menjaringkan satu gol dan masing-masing tiga dalam suku kedua dan keempat.

Di sebelah Malaysia pula, skuad negara gagal memaksa England melakukan satu kesalahan untuk mendapat walaupun satu penalti sudut.

Mengulas mengenai prestasi tersebut, Stephen tidak dapat menyembunyikan kekesalannya.

“Secara keseluruhan, ini bukan permulaan yang baik untuk kami apabila tewas 7-0 kepada England.Pemain banyak melakukan kesilapan mudah, kami memberikan jaringan mudah kepada pasukan lawan.

“Apabila menyertai kejohanan seperti Sukan Komanwel, kami sudah menjangka tekanan yang bakal dihadapi. Kami akan menyatukan kembali semangat dan cuba menghasilkan permainan lebih baik esok,” katanya.

Sementara itu ketua pasukan, Sukri Mutalib turut mengakui skuad negara melakukan begitu banyak kesilapan yang membuka ruang untuk lawan menggegarkan gawang.

Katanya, England memiliki barisan penyerang yang bagus tetapi kesilapan Malaysia yang membolehkan mereka menjaringkan gol dengan mudah.

“Kami bermula dengan buruk. Kami melakukan banyak kesilapan dan England mudah menghukum kami. Mereka adalah pasukan yang sangat bagus dalam menjaringkan gol dan kami membenarkan mereka melakukannya dengan mudah.

“Saya harap pemain-pemain tidak patah semangat dan bangkit dalam perlawanan menentang Wales (esok),” katanya.

Selepas bertemu Wales, Malaysia akan berdepan lawan lebih sukar di peringkat awal ini dengan India dan Pakistan menanti.

Kekalahan kepada England ini seharusnya dijadikan sebagai seruan amaran kepada skuad negara jika masih berminat untuk memenuhi sasaran mara ke separuh akhir.

Rekod terbaik Malaysia dalam Sukan Komanwel adalah menang perak dalam temasya 1998 di Kuala Lumpur manakala kali terakhir mereka merebut pingat adalah di Manchester pada 2002 selepas menduduki tempat ketiga.

Sementara itu pasukan wanita negara tewas 4-1 kepada India dalam perlawanan Kumpulan A.