Kejohanan berkenaan akan membuka tirai esok hingga 3 November ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Bagi kategori lelaki, Perak, Terengganu, Melaka, Kuala Lumpur, Penang dan Johor akan bersaing dalam divisyen satu sementara Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pahang, Singapura, Kelantan dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam divisyen dua.

Sementara wanita pula menyaksikan kumpulan A dihuni oleh Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, PDRM dan Singapura manakala Pahang, ATM, Terangganu dan Pulau Pinang dalam kumpulan B.

Ketua pasukan lelaki Perak yang juga juara bertahan, Shazril Irwan Nazli berkata, pasukannya mempunyai potensi mengekalkan gelaran biarpun tanpa sentuhan beberapa pemain kebangsaan yang kini menggalas tugas dalam kempen Trofi Juara-Juara Asia 2018 di Oman.

“Ramai pemain kelahiran Perak bersama pasukan kebangsaan seperti Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Meor Muhamad Azuan Hassan serta Muhammad Najib Abu Hassan dan kami sememangnya merasai kehilangan mereka.

“Dengan kehadiran pemain berpengalaman seperti Azlan Misron, Izad Hakimi Jamaluddin, Roslan Jamaluddin selaku penjaga gol serta Hafifi Hafiz Hanafi saya melihat peluang untuk kami mempertahankan kejuaraan masih ada.

“Dengan gabungan pemain senior serta pemain bawah 21 tahun yang mempunyai kualiti terbaik kami yakin mampu untuk mempertahankan kejuaraan tersebut untuk edisi kali ini,” jelas Shazril.

Sementara bagi Nurul Safiqah Mat Isa yang juga kapten juara kategori wanita tahun lalu Selangor, dia percaya kombinasi pemain senior dan remaja akan membantu pasukannya mempertahankan kejuaraan.

“Pada saya kombinasi pemain remaja dan senior adalah satu kombinasi yang baik kerana kami dapat menggunakan tenaga pemain baharu serta berpengalaman sekali gus boleh dikongsikan bagi membentuk satu pasukan yang kuat.

“Kami juga tidak akan memandang mana-mana pasukan sebagai terlalu hebat atau lemah kerana bila di atas padang permainan pada ketika itu menjadi penentu dan siapa yang menjaringkan gol dia yang akan keluar sebagai pemenang,” kata Safiqah. - UUTUSAN ONLINE