Sidang akhbar berkenaan, yang bakal dipengerusikan Presiden MHC, Datuk Sri Subahan Kamal akan menjelaskan mengenai perkembangan terkini hoki negara serta persiapan skuad lelaki menghadapi Piala Dunia di India dari 28 November hingga 16 December ini.

Spekulasi mengenai Oltmans bakal menjadi jurulatih baharu skuad kebangsaan mula berlegar selepas dia dilihat berada di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Oltmans, 64, dikatakan menerima beberapa tawaran, termasuk daripada Malaysia tidak lama selepas meletak jawatan sebagai jurulatih hoki Pakistan pada 22 September lalu.

Desas-desus mengatakan, Oltmans mungkin digandingkan dengan jurulatih sedia ada, Stephen van Huizen untuk membantu Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Kempen kelayakan akan bermula pada April, 2019.

Van Huizen yang mengambil alih skuad senior negara pada September 2015 gagal membawa Malaysia layak secara automatik menerusi tiket Sukan Asia, bulan lalu selepas pasukan negara tewas kepada Jepun dalam perlawanan akhir.

Oltmans yang dilahirkan di Oegstgeest, Belanda pernah membantu pasukan negaranya menjuarai Kejohanan Hoki Wanita Dunia 1990, sebelum beralih kepada skuad lelaki negara itu pada 1993 dan meraih pingat emas Olimpik 1996.

Pada 1998, dia membawa Belanda muncul juara lelaki dunia, sebelum aktif dalam bola sepak dan dilantik sebagai Pengarah Teknikal NAC Breda, sebuah kelab bola sepak liga Belanda dari 1999 hingga 2001.

Oltmans dilantik sebagai Pengarah Prestasi Tinggi India pada 2013, sebelum menjadi Ketua Jurulatih pada 2015 tetapi dipecat pada September, 2017.

“Secara peribadi, saya tidak meletakkan harapan tinggi kepada Pakistan dalam Piala Dunia kerana kami bukan sahaja berada dalam kumpulan sukar, malah kehilangan Oltmans secara mengejut.

“Kami perlu mengalahkan Malaysia dan menamatkan kempen di tangga ketiga untuk sekurang-kurangnya beraksi dalam perlawanan crossover (menentang pasukan tangga ketiga dari kumpulan lain),” kata bekas kapten Pakistan, Waseem Ahmed.

Malaysia dan Pakistan (juara empat kali) diletak dalam Kumpulan D bersama juara tiga kali, Belanda dan juara dua kali, Jerman. - UTUSAN ONLINE