Malaysia yang menghuni ranking ke-13 dunia tewas 2-4 kepada pasukan ranking terendah kejohanan, Itali (32) dalam aksi terakhir Kumpulan B, Siri Akhir FIH.

Kekalahan itu menyebabkan pasukan negara perlu me­ngalahkan Wales dalam playoff hari ini untuk memburu tiket separuh akhir, sebelum mencari slot final, seterusnya mencari tempat ke Sukan Olimpik 2020.

Lebih memilukan, ini kekalahan pertama Malaysia kepada Itali sejak 1978.

“Perkara baik yang kami harapkan tidak berlaku ketika menentang Itali.

“Malaysia bermain di bawah prestasi sebenar tetapi saya enggan menuding jari kepada sesiapa sebaliknya kami harus menerima kekalahan itu sebagai satu pasukan.

“Kejohanan ini telah mengajar kami bahawa ranking tidak memberi apa-apa makna,” kata Oltmans.

Kekalahan kepada Itali juga membimbangkan peminat hoki negara menjelang pertemuan dengan pasukan ranking ke-24 dunia, Wales.

Malaysia meletakkan sasaran muncul juara kejohanan bagi memudahkan laluan layak ke Temasya Tokyo 2020.

“Kami tidak boleh mengulangi kesilapan Rabu ini, namun perlawanan menentang Wales dijangka sengit,” katanya lagi.

Malaysia tidak pernah kalah atau seri dalam semua pertemuan menentang Wales sejak 2009.