Pengurus Jawatankuasa Pertandingan MHC, Brian Fernandez berkata PSM perlu menyelesaikan isu di padang satu dan dua di Stadium Nasional kerana stadium itu akan digunakan dalam penganjuran final Siri Hoki Lelaki 2019 dari 26 April hingga 4 Mei 2019.

“Setakat yang saya tahu, kami masih menanti PSM untuk memperbaiki padang itu. Padang dua tidak boleh digunakan untuk perlawanan, sementara padang satu boleh digunakan tetapi masih ada beberapa masalah.

FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) akan datang melakukan pemeriksaan ke atas padang itu, jadi kami harap PSM akan menyelesaikan isu ini dengan segera,” katanya kepada Bernama.

Bernama sebelum ini melaporkan keadaan padang di Stadium Hoki Nasional yang teruk, dengan keadaannya yang licin, tidak rata dan berlumut yang berbahaya kepada pemain.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan sudah hampir setahun sejak KHM menulis kepada PSM mengenai perkara itu tetapi masalah itu masih belum selesai.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong turut menggesa PSM untuk menyelasaikan masalah itu dengan segera bagi mengelakkan sebarang risiko ke atas pemain.

Terdahulu MHC mengesahkan padang dua tidak boleh digunakan untuk Liga Hoki Malaysia (MHL) yang bakal bermula dengan Piala Tan Sri P Alagendra, Khamis ini.

Sebaik sahaja MHL selesai pada awal Mac, stadium itu bakal menjadi tuan rumah kepada final Siri Hoki Lelaki yang juga sebagai kelayakan untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam bulan April.

Final Siri Hoki itu disertai Malaysia, Austria, Kanada, Itali, Wales, Vanuatu, China dan Brazil, yang mana dua pasukan teratas kejohanan itu akan layak ke pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2020. - BERNAMA