Malaysia kini berkongsi tiga mata dengan Pakistan dalam Kumpulan B selepas tamat tiga perlawanan ekoran kekalahan 1-2 kepada musuh tradisi, India hari ini.

Dalam aksi di Stadium Hoki Gold Coast, skuad bimbingan Stephen Van Huizen dikejutkan dengan jaringan lawan seawal minit ketiga oleh Harmanpreet Singh melalui pukulan sudut penalti.

Tersentak dengan gol itu, penyerang negara, Faizal Saari menggegarkan gawang India untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-16 melalui jaringan padang.

Malaysia terus memberi saingan seimbang kepada India, namun pasukan keenam dunia itu sekali lagi melalui Harmanpreet akhirnya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-44.

Van Huizen bagaimanapun berpuas hati dengan persembahan yang telah ditunjukkan anak-anak buahnya, terutama apabila berjaya menyelamatkan tujuh daripada sembilan pukulan sudut penalti dan empat percubaan padang oleh pemain India.

“India menjaringkan gol terlebih dahulu tetapi kami berjaya mendapatkan jaringan penyamaan untuk membuka kembali permainan. Pemain pertahanan telah bertindak cemerlang ketika pukulan sudut penalti,” katanya selepas perlawanan hari ini.

Malaysia yang berada di kedudukan ketiga Kumpulan B kini berkongsi tiga mata dengan pasukan Pakistan dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.

Pakistan, pasukan ke-13 dunia yang kini di bawah kendalian jurulatih baharu, Roelant Oltmans telah menunjukkan peningkatan baik sepanjang beraksi di Gold Coast.

“Kami perlu bersedia sepenuhnya untuk pertemuan dengan Pakistan esok. Pertemuan dengan Pakistan merupakan pertemuan hidup mati untuk pasukan negara,” katanya. – BERNAMA