Ini juga adalah pingat emas kali ke-16 skuad hoki lelaki negara dalam kempen Sukan SEA sejak 1971.

Pingat gangsa milik Singapura selepas menang 2-1 dalam aksi perebutan tempat ketiga menentang Thailand.

Jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen berkata, pasukan amat yakin untuk memenangi perlawanan akhir terutama apabila bermula dengan baik.

“Kita beraksi di tahap terbaik dalam perlawanan ini dan semua pemain telah memanfaatkan setiap peluang mendapatkan jaringan. Dalam perlawanan sebegini tidak kisah siapa lawan yang ditentang pasukan negara harus mempamerkan tahap mereka yang sebenar.

“Cuma pada suku ketiga sahaja penyudah kurang tajam kerana padang yang basah akibat hujan namun secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan pemain,” katanya.

Dalam perlawanan akhir tersebut, Malaysia tidak berdepan masalah untuk menguasai saingan apabila mula memberikan tekanan ke atas Myanmar menerusi jaringan seawal minit pertama.

Jurang antara pasukan Malaysia yang ketika ini menghuni ranking ke-12 dunia dengan Myanmar ke-85 dapat dilihat jelas ketika suku keempat perlawanan apabila skuad hoki negara berjaya meraih lapan gol bagi melengkapkan keputusan 14-0.

Ini juga adalah kemenangan dengan jumlah jaringan kedua terbesar skuad hoki lelaki negara dalam kempen Sukan SEA Ke-29.

Kemenangan terbesar dalam temasya kali ini adalah ketika aksi peringkat kumpulan yang menyaksikan Malaysia menang 18-1 ke atas Indonesia pada 23 Ogos lalu.

Kemenangan Malaysian Tigers ini membolehkan kem hoki negara mengumpul tiga pingat emas daripada empat acara yang dipertandingkan.

Dalam Sukan SEA kali ini Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) meletakkan sasaran empat pingat emas.