Malaysia yang menghuni ran­king ke-12 dunia diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, Bangladesh, Indonesia, Oman dan Thailand manakala Kumpulan A terdiri daripada India, Jepun, Korea Selatan, Sri Lanka dan Hong Kong.

Bekas pemain kebangsaan Maninderjit Singh berkata, peluang tersebut harus dimanfaatkan dengan sebaiknya dan dalam masa sama skuad Malaysian Tigers perlu berusaha untuk menamatkan persaingan peringkat kumpulan selaku juara.

“Jika berjaya menamatkan peringkat kumpulan selaku juara Kumpulan B maka Malaysia dapat mengelak daripada bertemu India dalam aksi separuh akhir.

“Selaku juara kumpulan B kita mungkin boleh bertemu sama ada Korea Selatan atau Jepun dan jika meraih kemenangan maka aksi akhir adalah menentang India, ini sekadar jangkaan.

“Peluang untuk mendapat pingat emas itu ada namun semuanya bergantung kepada pa­sukan untuk memanfaatkannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Undian acara hoki bagi Sukan Asia 2018 diumumkan hari ini oleh Persekutuan Hoki Asia (AHF). Acara hoki akan berlangsung pada 19 Ogos hingga 1 September ini di Jakarta.