Ini adalah kali pertama hoki dalam dewan dipertandingkan dalam Sukan SEA dengan 11 negara termasuk tuan rumah bakal mengambil bahagian.

Ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan Muhammad Amin Rahim berkata, pasukannya tetap berwaspada dengan ancaman daripada Indonesia yang dikhabarkan sudah mempunyai pasukan hebat untuk KL2017.

“Hoki dalam dewan lelaki mempunyai misi untuk mendapatkan pingat emas dan kemungkinan ada beberapa pemain dalam skuad hoki padang akan beraksi bersama kami bagi memperkuatkan pasukan.

“Buat masa ini kebanyakan pemain masih lagi menyesuaikan diri dengan undang-undang permainan yang amat berbeza berbanding hoki padang,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dalam permainan hoki dalam dewan sebanyak enam pemain akan beraksi manakala enam lagi berada di bangku simpanan. Corak permainan juga amat berbeza dengan hoki padang kerana tiada peraturan offside manakala kayu yang digunakan juga lebih nipis.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan wanita negara, Iman Gobinathan berpendapat pasukannya kini dalam tahap prestasi terbaik untuk menghadapi KL2017 terutama selepas muncul naib juara Piala Asia di Qatar pada April lalu.

“Buat masa ini ancaman utama kami dalam KL2017 adalah Thailand yang berada tidak jauh dari kami dari segi ranking.

“Di Qatar, dapat dilihat Thailand mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan handalan lain namun kami tetap berkeyakinan skuad hoki dalam dewan wanita negara mampu meraih pingat emas pada Ogos ini,” katanya.