Ini juga adalah kekalahan Malaysia Tigers kepada England dengan defisit jaringan kedua terbesar selepas 8-1 sewaktu Sukan Komanwel 2014.

Malaysia yang kali terakhir melangkah ke saingan akhir kejohanan sama di Ipoh empat tahun lalu kini hanya berpeluang untuk merebut tempat ketiga menentang Argentina, esok manakala England mara ke saingan akhir bertemu Australia.

Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen berkata, Malaysia harus menjadikan kekalahan ini sebagai pengajaran untuk persediaan menghadapi Sukan Komanwel bulan depan.

“Mereka bermain amat pantas ketika meraih kemenangan dan tiada sapa mahu kalah dengan keputusan 7-2.

“Kita adalah pasukan di kedudukan ranking ke-12 manakala England adalah ketujuh terbaik dunia, maka kami harus terima keputusan ini,” kata Stephen.

Dalam perlawanan di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh itu me­nyaksikan Malaysia Tigers sukar menyerap tekanan daripada England pada suku pertama perlawanan menerusi beberapa siri sera­ngan dalam kawasan D negara.

Gol awal England hadir pada minit ke-10 hasil pukulan sudut penalti daripada Mark Gleghorne dan seminit selepas itu menjadikan kedudukan 2-0 menerusi ja­ringan padang Ollie Willars.

England terus menambah derita Malaysia Tigers apabila gerakan pantas Barry Middleton tidak dapat dihalang oleh pertahanan negara sekali gus membolehkan pemain berusia 34 tahun itu menjaringkan gol padang minit ke-15 dan minit ke-31.

Kealpaan benteng pertahanan negara menyebabkan skuad Malaysia dihukum dengan gol kelima England pada minit ke-38 hasil jaringan padang daripada Sam Ward yang turut meledak jaringan keenam menerusi pukulan sudut penalti minit ke-41.

England terus bernasib baik apabila dihadiahkan pukulan penalti stroke pada minit ke-48 yang bijak dimanfaatkan oleh Gleghorne untuk gol ketujuh.

Dua gol skuad kebangsaan dijaringkan penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-50 dan Muhammad Marhan Abdul Jalil pada minit ke-52 menerusi jaringan padang.