Jelasnya, ini kerana bekalan selesa itu mampu hilang sekelip mata pada saingan yang masih berbaki tempoh sejam dalam aksi timbal balik Rabu ini.

“Saya memang tidak jangkakan kemenangan ini. Pujian wajar diberikan kepada semua pemain kerana mereka berhak meraihnya setelah beraksi dengan cukup baik.

“Saya harap pemain tidak dibuai dengan kemenangan ini sebab walaupun sekarang sudah sebelah kaki tetapi masih ada satu lagi perlawanan. Apa sahaja boleh terjadi nanti,” katanya sejurus tamat perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, di sini.

UniKL meraih jaringan menerusi Kieran Govers pada minit ke-13, Jeroen Hertzberger (m-32, m-48) dan Glenn Turner (m-41), manakala THT, yang masih segar dengan gelaran Liga Hoki Malaysia (MHL) sekadar memperoleh gol saguhati daripada Joaquin Menini (m-51).

Dalam pada itu, Jurulatih THT, Sarjit Singh mengakui UniKL berhak memperoleh kemenangan itu berbanding anak-anak buahnya berdasarkan persembahan bertenaga daripada pihak lawan sepanjang 60 minit perlawanan.

“Pujian kepada UniKL kerana mereka bermain sangat baik. Kami bernasib baik cuma kalah 1-4 kerana sebenarnya kami boleh tewas dengan jaringan lebih besar, mungkin 1-6.

“UniKL mengambil setiap peluang yang ada berbanding kami, yang sukar mendapat percubaan ke arah gawang gol mereka.

“Apa pun saya percaya kami mampu bangkit mengubah situasi ini kerana saya yakin dengan kemampuan pemain untuk bangkit pada aksi timbal balik nanti,” katanya.- UTUSAN ONLINE