Malaysia menamatkan kempen hoki lelaki lima sebelah dalam temasya itu dengan memenangi pingat emas selepas menewaskan India 4-2 dalam perlawanan akhir di Taman O­limpik Argentina, Buenos Aires semalam.

Pengurus pasukan Megat Azrafiq Megat Tarmizi berkata, tidak mustahil pemain yang dimiliki ketika ini akan menjadi tulang belakang kepada kejayaan hoki negara pada masa hadapan.

“Kami tidak pernah menjangkakan kejayaan ini kerana tidak mengetahui kekuatan dan kelemahan pasukan lawan sebaliknya kami sentiasa mahu memberikan aksi terbaik untuk cuba mengorak langkah sejauh yang mungkin.

“Apa yang saya boleh katakan ialah pemain telah dididik de­ngan baik oleh cikgu-cikgu mereka di sekolah masing-ma­sing selain mempunyai semangat juang tinggi malah mempunyai semangat tidak mudah menyerah kalah serta mempercayai antara satu sama lain.

“Kejayaan ini sudah semestinya membakar semangat mereka dan rakan-rakan yang lain untuk layak ke Piala Dunia Hoki Remaja 2020, bagi saya mereka sangat berbakat, tidak mustahil lebih banyak kejayaan mampu diraih selepas ini,” katanya menerusi mesej hari ini.

Kejayaan yang dilakar itu juga adalah satu pencapaian paling membanggakan buat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kerana ini adalah kali pertama skuad hoki negara layak beraksi dalam Sukan Olimpik Remaja.

Kejayaan mereka di ibu negara Argentina itu lebih manis apabila Muhamad Akhimullah Anuar Esook turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak pertandingan dengan 22 gol.