Skuad hoki negara menamatkan kejohanan itu di tempat keempat daripada empat pasukan bertanding selain tidak me­raih sebarang kemenangan sepanjang kempen berkenaan.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, beliau tidak berpuas hati dengan ­prestasi semasa skuad hoki lelaki di Tokyo namun tetap mengharap­kan mereka mampu bangkit menjelang kelayakan Sukan Olimpik 2020 dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

“Roelant Oltmans (ketua jurulatih) beritahu pemain agak kepenatan dan sebagai presiden saya tak boleh terima alasan sedemikian.

“Sebab anda perlu melakukan persediaan terbaik apabila bertemu siapa pun lawan.

“Bagaimanapun saya tetap memahami barisan pemain yang dibawa oleh Oltmans ke Jepun bukanlah yang terbaik.

“Untuk pendedahan kepada pemain muda ia memang langkah yang bagus tetapi mereka juga harus meraih keputusan yang baik,” katanya selepas Program Three Pulse di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Aksi di Tokyo adalah sebahagian daripada persiapan fasa akhir Malaysia untuk menghadapi perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2020 yang dijadual berlangsung Oktober hingga November ini. - UTUSAN ONLINE