Kemenangan Australia ke atas pasukan No.2 dunia, Argentina dalam aksi terakhir liga sepusingan kejohanan membolehkan skuad Kookaburras mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang lima perlawanan berlangsung.

Ini juga adalah kali ke-14, Australia melangkah ke sai­ngan akhir Piala Sultan Azlan Shah sejak kali pertama kejohanan ini diperkenalkan pada 1983.

Jurulatih Australia, Colin Batch berkata, keupayaan semua pemainnya mempamerkan prestasi konsisten sepanjang perlawanan peringkat liga menjadi faktor utama kejayaan Kookaburras ke sai­ngan akhir.

“Kami bukan pasukan yang bergantung kepada seorang pemain sahaja kerana semua bahagian, semua pemain kami mempunyai kelebihan tersendiri.

“Pujian juga wajar diberikan kepada semua pemain Australia kerana melaksanakan tugas mereka dengan baik ketika menyekat beberapa percubaan Argentina bagi mendapatkan gol,” kata Batch.

Dalam perlawanan tersebut, tiga gol Australia dijaringkan oleh Aaron Kleinschmidt pada minit ke-25 dan ke-56 manakala satu lagi menerusi Trent Mitton pada minit ke-55.

Kesemua gol Australia itu diraih menerusi gol padang, tanpa perlu mengharapkan aksi pukulan sudut penalti.

Sementara gol tunggal Argentina dijaringkan oleh pakar pukulan sudut penaltnya, Gonzalo Peillat pada minit ke-21.