Bekas jurulatih negara itu mengaku tersilap ketika memberikan kenyataan dalam sebuah akhbar harian yang bertajuk ‘LHM (Liga Hoki Malaysia) bakal tutup kedai’ dan telah memohon maaf kepada jawatankuasa yang bersidang, hari ini.

“Saya rasa jawatankuasa te­lah menjalankan tugasnya de­ngan adil dan memberi peluang saya menjelaskan kedudukan sebenar. Saya mengaku membuat kesilapan dan memohon maaf. Pihak pengurusan UniKL juga maklum tentang hal ini khususnya Presiden, Datuk Amir Azhar Ibrahim yang memberi sokongan kuat,” katanya selepas mengadakan Klinik Kejurulatihan Hoki di Stadium Tengku Abdullah, UniKL, di sini, hari ini.

Arul turut berjanji untuk lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan pada masa hadapan dan hanya mahu me­numpukan tugasnya sebagai ketua jurulatih UniKL yang kini mendahului carta LHM 2018.

Mengenai pertemuan de­ngan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam saingan Divisyen Perdana LHM di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur, esok, Arul berkata, pasukannya menang 3-1 dalam pusingan pertama yang lalu dan tewas 0-3 pada separuh akhir Piala Tan Sri P. Alagendra.

“Rumusan saya ialah kami menang tempoh hari kerana memanfaatkan peluang yang terhad tetapi bahayanya TNB ialah mereka ada sembilan atau 10 pemain kebangsaan yang sentiasa cergas.

“Penjaga gol lawan, S. Kumar terbaik di Asia dan dia bertaraf dunia. Jadi, kami kena banyak berdisiplin dalam bertahan dan manfaatkan sebarang serangan balas serta pukulan sudut pe­nalti,” katanya.

Sementara itu, klinik kejurulatihan yang dianjurkan UniKL mendapat sambutan hangat lebih 100 pelajar dari lima buah sekolah. Antara pemain yang hadir ialah Marhan Jalil, Razie Rahim, Sukri Mutalib, Martin Peter Havenga (Belanda) dan David John Harte (Ireland) serta legenda negara, Datuk Mirnawan Nawawi.