Kata Walsh, mereka yang mengkritik itu sebenarnya tidak layak bercakap mengenai hoki.

"Komen saya, kebanyakan mereka yang bercakap ini sebenarnya tidak layak bercakap pasal hoki.

“Mereka tidak faham, apa yang kita lakukan adalah untuk proses jangka panjang, bukannya keputusan segera," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) hari ini.

Malaysia yang berada di ­ranking ke-12 dunia terpaksa pulang awal daripada Piala Dunia dan gagal mencapai sasaran 10 terbaik.

Pasukan negara menamatkan kempen di tangga ke-15 daripada 16 pasukan bertan­ding selepas kalah 0-7 kepada Belanda serta 3-5 di tangan Jerman, selain seri 1-1 menentang Pakistan.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Malaysia, Roelant Oltmans optimis anak-anak buahnya memiliki kualiti untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, walaupun gagal mencapai sasaran kelompok 10 teratas Piala Dunia.

“Kami memang kecewa, terutama aksi permulaan tidak baik (berdepan Belanda).

“Perlawanan kedua dan ketiga, kita bermain agak baik, tetapi tidak dapat mengembalikan kedudukan kita.

“Kita menghadapi masalah dari segi mental ketika berdepan Belanda. Kita bermula baik, namun selepas dibolosi dengan gol kedua dan ketiga, kita kehilangan rentak permainan,” kata Oltmans.

Dalam perkembangan lain, MHC mengesahkan tujuh pasukan bakal bertanding pada Liga Hoki Malaysia musim depan dike­tuai Pasukan Hoki Terengganu (THT).

Turut bertanding Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi Mara (UITM) dan Nurinsafi.

Liga akan bermula de­ngan aksi Sumbangsih antara juara liga 2018, THT menentang juara Piala TNB, UniKL pada 11 Januari. – BERNAMA