Di Chiang Mai, Thailand, kontinjen negara membolot empat pingat emas keseluruhan dalam Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia 2018.

Syarul Azman Mahen Abdullah menggondol gelaran hatrik Mr Universe dalam kategori fizik 167 sentimeter untuk muncul atlet pertama dunia melakar kejayaan tersebut.

Jaguh bina badan wanita negara, Lilian Tan pula cemerlang merangkul dua pingat emas ­kategori 55 kilogram ke atas dan Masters 30 tahun ke atas.

Melengkapkan hari cemerlang Malaysia adalah atlet berpengalaman, Buda Anchah dari Sarawak yang menungguli sai­ngan Masters 40-50 tahun selain perak bagi bawah 70kg.

“Ini satu pencapaian cemerlang. Sepanjang pembabitan saya selama berpuluh tahun dalam sukan ini, musim 2018 adalah yang terbaik,” kata Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), Kamarulzaman Kadir.

Sementara itu di Singapura, Malaysia menggondol tiga emas dalam Kejuaraan Pencak Silat Dunia menerusi Siti Rahmah Nasir, Mohd. Hazim Amza dan gandingan Taqiyuddin Hamid-Sazzlan Yuga.

Rahmah mempertahankan gelaran dunia empat kali berturut-turut selepas menumpaskan pesilat Indonesia, Rizka Andini untuk meraih emas kelas Puteri E (65-70kg).

Hazim pula menjuarai kelas Putra C (55 hingga 60kg) selepas mengetepikan pencabar dari Thailand, Adilan Chemaeng menerusi keputusan 4-1.

Taqiyuddin-Sazzlan melengkapkan hari gemilang Malaysia dengan menghadiahkan pingat emas dalam saingan Ganda Putera.