Antara orang yang berpenge­tahuan luas mengenai sukan tempatan, Kok Chi yang merupakan bekas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, beliau membuat kesimpulan itu selepas menganalisis keseluruhan Program Podium dan pencapaian atlet daripada program elit itu yang menyertai Sukan Komanwel di Gold Coast serta Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Katanya, Program Podium hilang fokusnya apabila menjadikan Sukan Komanwel dan Sukan Asia sebagai ukuran untuk mencapai sasaran satu pingat emas Sukan Olimpik 2020.

Sebenarnya, kata Kok Chi, Sukan Komanwel dan Sukan Asia tidak boleh dijadikan asas untuk Program Podium merealisasikan harapan dalam memburu pingat emas Sukan Olimpik.

“Malaysia sentiasa meraih pencapaian yang membanggakan dalam sukan-sukan bukan Olimpik seperti boling, skuasy, sepak takraw, boling padang serta wusyu namun bagaimana kecemerlangan sukan ini dapat membantu negara dalam memburu pingat emas Sukan Olimpik 2020 di Tokyo?

“Bukan itu sahaja, dalam Sukan Komanwel memang ada sukan-sukan Olimpik seperti badminton, menembak serta angkat berat namun piawaian bagi sukan itu amat rendah dalam temasya berkenaan.

“Memenangi pingat emas dalam Sukan Komanwel menerusi sukan-sukan Olimpik itu tidak menjamin akan memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2020 malah pingat gangsa juga belum pasti,” kata Kok Chi dalam satu kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Kok Chi turut memberitahu kurang perbincangan dan perundingan dalam Program Podium menjadi punca utama program itu tidak berada di landasan terbaik dalam usaha memburu pingat emas Sukan Olimpik 2020.

“Daripada pengalaman peribadi saya, pegawai sukan dalam kerajaan telah menjadi sangat berkuasa sehinggakan sukar untuk menerima idea luar dan pendapat dengan baik, sebagai contoh hanya ada undangan Bengkel Post Mortem Program Podium dan melibatkan individu pilihan sahaja, bagaimana dengan yang lain?

“Hanya kerana dana kerajaan digunakan untuk pembangunan sukan, tidak bermakna pegawai sukan dalam kerajaan telah memiliki sukan, sebaliknya semuanya harus menerusi perbincangan, perundingan, jelas, kurang pembaziran, dan lain-lain.

“Negara jiran Malaysia iaitu Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam sudah meraih pingat emas Sukan Olimpik manakala impian Malaysia untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik dilihat kelam dan saya berharap tanggapan saya ini salah.

“Di bawah kerajaan baharu iaitu Pakatan Harapan (PH), saya berharapan tinggi agar ada perubahan namun malangnya berlaku terlalu perlahan. Jika pandangan saya salah saya memohon maaf kerana apa yang saya katakan ini adalah berdasarkan maklumat sahih yang saya peroleh,” kata Kok Chi.