Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan berkata, buat masa ini, semua pemanah negara sudah memahami kekeliruan yang berlaku selepas mendapat penjelasan secara bersemuka selama lebih sejam daripada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam satu pertemuan yang diatur, semalam.

“Semua pemanah sudah diberikan penjelasan secara terperinci dan kontrak baharu akan ditawarkan kepada mereka tidak lama lagi. Jika berpuas hati dengan kontrak tersebut, mereka boleh menandatanganinya tetapi jika sebaliknya mereka boleh tolak,” katanya selepas perjumpaan itu.

Bagaimanapun, beliau men­ge­sahkan, bahawa tiga pemanah compound yang membuat keputusan menarik diri sebelum ini kerana tidak berpuas hati dengan jumlah elaun agak rendah yang ditawarkan, tidak hadir sama.

Pemanah yang dimaksudkan ialah Lee Kin Lip, Zulfadhil Ruslan dan Juwaidi Marzuki.

Sementara itu, Ahmad Shapawi ketika ditemui mengesahkan pihaknya tidak bercadang mengubah jumlah elaun yang ditetapkan. Sebaliknya, jika tiga pemanah tersebut dapat memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu berlatih sepenuh masa berbanding separa masa dengan MSN, elaun mereka akan ditambah.

“MSN belum menutup pintu rundingan lagi. Ia masih terbuka untuk dibincangkan supaya atlet memanah faham tentang idea yang kami gunakan,” tegasnya.