Furyk turut menamakan pemain veteran, Phil Mickelson dan Bryson DeChambeau yang ketika ini berada pada prestasi terbaik.

Woods, bekas pemain nombor satu dunia, sudah dijamin menyertai pasukan ke Paris untuk pertembungan dengan pasukan Eropah pada 28-30 September ini selepas dilantik sebagai penolong kapten oleh Furyk, tetapi tidak akan beraksi.

Bagaimanapun prestasi memberangsangkan Woods sejak kembali bersaing secara kompetitif tahun ini mendorong Furyk untuk mengisi salah satu daripada empat tiket pilihan kapten yang dikhaskan untuk pemain-pemain yang tidak layak secara automatik menyertai pasukan.

Mickelson dan DeChambeau mengisi dua lagi slot pilihan kapten yang diumumkan Furyk semalam dan nama terakhir untuk pasukan juara bertahan itu akan diumumkan minggu depan. Tony Finau antara calon yang bakal melengkapkan pasukan AS.

Woods, 42, akan beraksi buat kali kelapan dalam saingan Piala Ryder dan penampilan pertamanya sejak edisi 2012.

Pasukan Amerika Syarikat akan memburu kemenangan Piala Ryder pertama di benua Eropah dalam tempoh 25 tahun apabila berdepan tuan rumah di lapangan Le Golf National di Saint-Quentin-en-Yvelines, Paris. – AFP