Pemain berusia 41 tahun dari Arizona itu menampilkan aksi bebas bogey selain merekodkan enam birdie termasuk tiga secara berturut-turut di lubang keempat, kelima dan keenam untuk catatan 65 pukulan, tujuh di bawah par hari ini.

Keputusan itu menyaksikan dia berjaya mengumpul 131 pukulan, 13 di bawah par secara keseluruhan.

Sementara itu, Schauffele mengekori rapat di kedudukan kedua dengan catatan 67 pukulan, lima di bawah par untuk mengumpul 132 pukulan, 12 di bawah par secara keseluruhan.

Dalam pada itu, pendahulu hari pertama, Cameron Smith dari Australia berkongsi kedudukan ketiga bersama Sung Kang dan Thomas Pieters selepas merekodkan 68 pukulan, empat di bawah par bagi mengumpul 135 pukulan, sembilan di bawah par secara keseluruhan.

Nasib terus tidak menyebelahi juara bertahan dua kali, Justin Thomas selepas pemain berusia 24 tahun itu sekadar berkongsi kedudukan ke-33 bersama lima pemain lain selepas melakukan 71 pukulan, satu di bawah par untuk mengumpul 141 pukulan, tiga di bawah par secara keseluruhan. - UTUSAN ONLINE