Justeru, bagi mencapai misi tersebut, telah diadakan satu kejohanan ‘Media Get2gether’ baru-baru ini bertujuan mencari pemain-pemain yang terbaik untuk mewakili pasukan Media Malaysia ke Singapura nanti.

Kejohanan tersebut yang diadakan di Kelab Golf Seri Selangor dan disertai 40 pemain terdiri dari pelbagai pertubuhan media, berjaya memilih lapan pemain terbaik yang terdiri daripada beberapa muka baharu untuk digabungkan dengan muka lama.

Lapan pemain tersebut ialah lima wakil dari Media Prima, Mohd. Aminuddin Azman, Mahathir Mohamad, Zulkarnain Abd. Talib, Zaini Salihin dan Mohd. Suhaimi Daud, diikuti Nor Azmi dari majalah Clubhouse, Imran Mohamad Nor (Utusan Malaysia) dan Ahmad Fadali (Pristine Work).

Mereka dipilih berdasarkan catatan gross terbaik dalam kejohanan sesi pemilihan itu yang menggunakan format stroke play.

Menurut Ketua pasukan Media Malaysia, Arep Kulal, sambutan yang diterima dari kalangan warga media amat menggalakkan dan ia memberi peluang sama rata kepada warga media untuk mewakili pasukan Malaysia dalam kejohanan kali ini.

“Misi untuk mempertahankan kejuaraan Piala Causeway yang memasuki edisi ke-13 ini agak sukar apatah lagi bermain di Singapura. Namun sambutan dari warga media pada sesi pemilihan baru-baru ini memberi saya peluang untuk memilih yang terbaik di antara mereka.

“Penampilan muka baharu dalam memberi saingan kepada pemain-pemain sedia ada saya anggap satu persaingan yang positif dan pemilihan mereka ibarat satu tonik baharu buat pasukan dalam misi mempertahankan kejuaraan,” kata Arep ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang di Kelab Golf Seri Selangor.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengurus Besar Kelab Golf Seri Selangor, Hairul Zaini.

Selain lapan pemain yang terpilih secara saingan, Arep juga mengumumkan lima lagi tempat iaitu tiga diberikan kepada bekas ketua pasukan Media Malaysia yang pernah memenangi Piala Causeway dalam edisi sebelum ini iaitu Patrick Ho (2009 & 2017) , Bob Kahar (2011) dan Datuk Wong Sai Wan (2010), manakala dua tempat lagi milik pemain yang paling lama beraksi dalam pasukan Media Malaysia iaitu Aziz Hassan (NST) dan Brian Alexis (Rev Asia).

Dalam majlis yang sama, Arep turut mengumumkan pelantikan Ismadi Manap dari RTM sebagai penolong ketua pasukan Media Malaysia 2019.

Pasukan Media Malaysia akan diwakili seramai 16 pemain utama dan empat pemain simpanan untuk edisi kali ini.

Bagi mencukupi jumlah 20 pemain, ketua pasukan akan memilih pemain berdasarkan kepada prestasi dan rekod cemerlang pemain termasuk tiga wakil wanita yang akan diumumkan tidak berapa lama lagi.

Kejohanan golf Piala Causeway diadakan setiap tahun bertujuan memupuk semangat dan kerjasama antara media Malaysia dengan Singapura.

Sejak Piala Causeway diperkenalkan bermula tahun 2007, Malaysia telah muncul juara sebanyak sembilan kali berbanding Singapura yang hanya tiga menang kali.

Pada kejohanan September ini nanti, pasukan Media Malaysia akan berkunjung ke Singapura, pastinya perbelanjaan lebih RM70,000 diperlukan dan kepada syarikat korporat atau individu yang ingin menghulurkan sumbangan bagi menjayakan kejohanan ini bolehlah menghubungi ketua pasukan Media Malaysia, Arep di talian +6019-2092222 atau akaun CIMB 8602939712 atas nama Sports Images.

PASUKAN Media Malaysia dan Media Singapura bergambar sebelum perlawanan di Kelab Golf Datai, Langkawi, Kedah pada 2016.

Seramai 13 pemain yang terpilih mewakili pasukan Media Malaysia ke kejohanan Piala Causeway di Singapura September depan, bergambar bersama Arep Kulal (belakang, tiga dari kiri) di Kelab Golf Seri Selangor, baru-baru ini.

PASUKAN Media Malaysia muncul juara selepas mengalahkan pasukan Media Singapura di Kelab Golf Glenmarie, Shah Alam, Selangor, tahun lalu.