Golf Amal YIDE 2018 yang diadakan kali kedua selepas kali pertama pada tahun 2015, mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai seramai 128 pemain yang terdiri daripada wakil dari syarikat GLC Negeri Selangor, syarikat-syarikat swasta, pemaju hartanah, 
anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), orang awam dan juga wakil media.

Kejohanan itu yang menawarkan sebuah kereta Proton Persona kepada pemenang yang berjaya melakukan ‘Hole In One’ bertambah meriah dengan penyertaan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut berkenan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Sumbangan yang diterima pada kejohanan itu akan disalurkan bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti Yayasan untuk kemaslahatan umat Islam seperti bantuan malapetaka dan musibah di negeri Selangor khususnya.

Selain itu, YIDE juga turut menguruskan hal ehwal anak-anak yatim seramai 8,500 orang, 12 buah rumah kebajikan anak yatim 
dan juga menyediakan perkhidmatan rawatan hemodialisis di enam Pusat Dialisis MAIS yang mampu menampung sehingga 260 pesakit.

Sehubungan itu, YIDE terus mengharapkan syarikat-syarikat GLC dan swasta yang telah menyalurkan sumbangan dapat terus menyumbang kepada YIDE pada masa akan datang.